Piawaian Topi Keledar ECE R22.06 – Kenapakah ia Penting untuk Anda? (Bhg. 1)
Ketika suatu acara kempen keselamatan jalan raya yang lalu, yang melibatkan beberapa agensi kerajaan, salah seorang pegawai melawat sebuah gerai yang mempamerkan topi keledar. Pekerja di gerai itu menerangkan beberapa perkara mengenai produk mereka, termasuklah piawaian ECE R22.06 yang baharu.
Ketika itulah segalanya menjadi agak tegang. Mula-mula sekali, pegawai itu bertanyakan di mana label SIRIM sambil membelek-belek helmet. Pekerja di gerai itu menerangkan bahawa topi keledar itu diimport maka tidak perlu melalui proses pensijilan SIRIM; padahal jabatan pegawai itulah yang meluluskan permit mengimpot helmet tersebut.
BACA DI SINI: Kenapakah ada helmet yang gunakan label SIRIM dan ada helmet yang tidak
https://www.givi.com.my/sijil-sirim-bagi-topi-keledar-pencerahan-bagi-mengelakkan-kekeliruan/?lang=ms
Dia seterusnya menanya apakah maksud ECE R22.06 serta di manakah yang menyatakan bahawa helmet tersebut mendapat kelulusan piawaian ini.
Ini bukan sebuah cerita dogeng, sebaliknya sebuah kisah benar. Kita faham bahawa mungkin ada pengguna yang tidak berapa berpengetahuan mengenai subjek ini tetapi ia merupakan sesuatu yang amat menakutkan dan memalukan apabila seorang pegawai di dalam agensi keselematan jalan raya tidak tahu.
Oleh itu, lebih baiklah kami menerangkan apakah piawaian ECE ini serta kenapakah ia penting bagi kita yang menunggang motosikal. Selain daripada itu, banjaran helmet GIVI yang akan datang akan diluluskan mengikut piawaian ECE R22.06, bermula dengan model GIVI M35.0 Scudo dan seterusnya GIVI 50.9 Atomic yang baharu.
Kenapakah piawaian helmet wujud?
Bayangkan anda telah membeli sepasang kasut bersaiz 42 melalui platform membeli-belah atas talian. Tetapi apabila ia tiba, saiznya boleh memuatkan kaki The Big Show. Kenapa terjadi begitu? Kerana tempat yang menjual kasut tersebut mempunyai cara mengukur kasut yang berlainan dengan tempat anda, kerana tiada piawaian ukuran.
Berbalik kepada isu topi keledar, suatu piawaian yang mempunyai aturan yang dihuraikan dengan jelas membolehkan pembuatan helmet yang memberikan keselamatan kepada pengguna. Piawaian helmet yang ada sekarang mengandungi kaedah-kaedah ujian, keputusan ujian yang diperlukan, dan kriteria lain yang wajib dipatuhi. Dalam erti lain, helmet yang tidak memenuhi mana-mana peraturan piawaian ini tidak sesuai untuk digunakan bagi melindungi pengguna. Selain daripada itu, ketiadaan piawaian boleh menyebabkan penghasilkan helmet dengan ciri keselamatan yang tidak konsistan, contohnya Pembuat A menghasilkan helmet dengan ciri keselamatan ini, Pembuat B menghasilkan helmet dengan ciri keselematan yang itu, Pembuat C pula membuat helmet dengan ciri-ciri yang membahayakan pengguna.
Apakah piawaian ECE R22.06?
Piawaian ECE R22.06 yang baharu ini mengandungi syarat-syarat untuk keselamatan yang baharu serta peningkatan kepada syarat-syarat yang sebelum ini. Ia merupakan suatu pembaharuan yang amat penting kerana prestasi motosikal sekarang sudah meningkat dengan banyak sejak piawaian ECE R22.05 dikuatkuasakan pada 2003. Tambah lagi, lebih ramai penunggang yang gemar memasang peranti seperti kamera aksi (GoPro) dan alat Bluetooth kepada helmet mereka.
Kita huraikan subjek ini dengan yang paling asas dengan berpandukan kepada gambar di bawah:
- “ECE” bermaksud Suruhanjaya Ekonomik untuk Eropah (Economic Commission for Europe). Ia ditubuhkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations atau UN) pada 1958 untuk menggalakkan kerjasama ekonomik dan integrasi di kalangan negara benua Eropah.
- ECE ini kemudiannya merumuskan piawaian di segi rekabentuk, ciri-ciri, keselamatan, dll bagi setiap produk yang dijual di benua tersebut. Ini termasuklah barangan elektrik dan elektronik, mesin pembuatan, peralatan perlindungan peribadi, dan sebagainya.
- ECE Regulation No. 22 (ECE R22) pula dilancarkan pada 1972 sebagai piawaian untuk ujian serta pembuatan helmet penunggang motosikal.
- Oleh kerana ECE berada dibawah naungan UN, piawaian ECE R22 ini turut dimaterai oleh ahli-ahli UN diseluruh dunia. Kerana inilah anda boleh melihat label “UN R22.XX” atau “UNECE R22.XX” pada helmet yang diimpot.
- Angka “.06” di belakang R22 itu merupakan siri rombakan piawaian ini, dan oleh itu “06” merupakan rombakan keenam.
- Piawaian ini turut diiktiraf dan dilaksanakan di 62 negara, termasuklah di Malaysia (bagi helmet yang diimpot sahaja).
- Majoriti proses ujian dan kelulusan dijalankan di negara-negara benua Eropah tetapi juga dijalankan di beberapa negara yang lain termasuklah Jepun, Australia, Afrika Selatan dan New Zealand.
Sistem label ECE R22.06
Helmet yang telah lulus piawaian ini dilabelkan di belakang cangkerang helmet. Selain daripada itu, terdapat juga satu label yang dijahit pada pengikat dagu. Label yang kedua ini mengandungi beberapa maklumat yang penting. Label ini terdapat pada setiap helmet GIVI yang memenuhi piawaian ECE, termasuklah GIVI 50.9 Atomic dan GIVI M35.0 Scudo yang baharu.
Sila lihat gambar-gambar di bawah ini bagi label yang terdapat pada model GIVI M35.0 Scudo:
- “E1” yang berada di dalam bulatan. Ia menunjukkan negara manakah yang menguji dan meluluskan helmet ini. E1 merupakan negara Jerman. (Sila lihat senarai di bawah.)
- “06300909”: Dua angka yang pertama iaitu “06” bermaksud helmet ini diluluskan di bawah piawaian ECE R22.06, manakala angka “300909” yang berikutnya merupakan nombor kelulusan untuk helmet model ini.
- “J”: Bermaksud helmet ini telah diluluskan sebagai jenis “jet” (open face).
- “003974”: Nombor kelompok yang diuji.
Gambar-gambar di bawah ini pula ialah daripada label GIVI 50.9 Atomic:
- “E1” yang berada di dalam bulatan. Model helmet ini diuji dan diluluskan di negara Jerman.
- “06300883”: Dua angka yang pertama iaitu “06” bermaksud helmet ini diluluskan di bawah piawaian ECE R22.06, manakala angka “300883” yang berikutnya merupakan nombor kelulusan untuk helmet model ini.
- “P”: Helmet ini telah diluluskan sebagai jenis full-face (muka penuh). Huruf “P” itu bermaksud protective (memberikan perlindungan) iaitu, pelindung dagu (chin bar) helmet ini telah diuji dan didapati dapat memberikan perlindungan kepada pengguna.
- “000654”: Nombor kelompok yang diuji.
Gambar-gambar di bawah ini pula ialah daripada label GIVI X.21 Challenger:
- Model GIVI X.21 Challenger ini diluluskan di bawah piawaian ECE R22.05, dan kami hendak menunjukkan beberapa perbezaan.
- “E11” yang berada di dalam bulatan. Model helmet ini diuji dan diluluskan di United Kingdom.
- “050588”: Dua angka yang pertama iaitu “05” bermaksud helmet ini diluluskan di bawah piawaian ECE R22.05, manakala angka “0588” yang berikutnya merupakan nombor kelulusan untuk helmet model ini.
- “P/J”: Helmet ini telah diluluskan sebagai jenis full-face (muka penuh) serta jet (open face).
- Huruf “P” itu bermaksud protective (memberikan perlindungan) iaitu, pelindung dagu (chin bar) helmet ini telah diuji dan didapati dapat memberikan perlindungan kepada pengguna.
- Manakala huruf “J” pula kerana helmet jenis modular atau lebih dikenali sebagai flip-up ini membolehkan seseorang pengguna menggunakannya dengan bahagian depan helmet terbuka atau ditanggalkan, justeru helmet itu menjadi jenis jet.
- NOTA PENTING: Terdapat juga helmet flip-up yang tidak ada huruf “P” dan sebaliknya ada “J” sahaja, atau terdapat huruf-huruf “NP.” Ia bermaksud pelindung dagu tidak diuji samada ia memberikan perlindungan atau pelindung dagu itu telah diuji tetapi didapati tidak memberikan perlindungan. Sila ambil perhatian terhadap ini apabila anda membeli helmet flip-up.
- “172657”: Nombor kelompok yang diuji.
Penutup
Terima kasih kerana bersama kami untuk Bahagian 1. Kami akan menunjukkan beberapa kaedah ujian helmet untuk mendapatkan kelulusan di bahagian seterusnya.
Sila klik pautan ini untuk mencari produk GIVI kegemaran anda.